RTM tangguh haramkan iklan makanan segera
KUALA LUMPUR 23 Feb. - Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini menangguhkan keputusannya untuk mengharamkan serta-merta iklan makanan segera di semua saluran penyiarannya.
Penangguhan itu akan berlangsung sehingga ‘lampu hijau’ diperoleh daripada Kabinet.
Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata, penjelasan itu perlu diberi kerana telah timbul kebimbangan di kalangan syarikat pengiklan dan syarikat makanan segera berikutan kenyataan beliau yang disiarkan Utusan Malaysia semalam.
Katanya, sekalipun RTM mahu mengharamkan serta-merta iklan makanan segera di stesennya, tetapi mereka akan tetap patuh kepada kontrak dan perjanjian yang telah dibuat dengan syarikat-syarikat iklan berkaitan.
‘‘Saya sedar perkara ini akan memberikan kesan yang besar kepada industri pengiklanan di negara ini kerana industri makanan segera menyumbang ratusan juta ringgit setahun.
‘‘Dalam pada itu, kepentingan kesihatan rakyat amat penting dan jika ia tidak dijaga, mutu kesihatan rakyat akan jatuh dan kerajaan terpaksa membelanjakan jutaan ringgit untuk mengatasinya,’’ katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini.
Tahun lepas nilai pendapatan iklan daripada syarikat-syarikat makanan segera di RTM berjumlah lebih daripada RM11 juta.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebelum ini mencadangkan agar iklan makanan segera diharamkan di media dan beliau akan membawa isu makanan segera yang dikatakan sebagai silent killer itu kepada Kabinet minggu hadapan.
Zainuddin berkata, jika kajian membuktikan yang makanan segera akan memberikan kesan yang buruk terhadap kesihatan masyarakat, maka tindakan perlu diambil segera demi kepentingan dan kesihatan rakyat.
Menurutnya, apa yang berlaku sekarang ini ialah memakan makanan segera telah menjadi trend kehidupan masyarakat.
‘‘Tetapi kita tidak seharusnya menjadikan makanan segera ini sebagai satu jalan keluar atau lambang cara hidup moden dan kita sebagai rakyat Malaysia masih mempunyai banyak alternatif untuk tidak menjadikan makanan segera ini sebagai makanan utama kita,” katanya.
Zainuddin berkata beliau berpendapat selain daripada makanan segera oleh syarikat besar dan francais, pihak berkuasa juga perlu memantau dan menguatkuasakan undang-undang terhadap kandungan bahan-bahan berbahaya dalam makanan segera yang dihasilkan syarikat-syarikat kecil dan juga para pengusaha yang tidak berdaftar.
Menurutnya ini kerana makanan segera seperti roti canai segera, pau segera, dan karipap segera boleh mengandungi bahan-bahan pengawet dan tidak baik untuk kesihatan, yang digunakan untuk menyedapkan dan membolehkan makanan berkenaan tahan lama.
“Jadi pihak berkuasa seharusnya memantau bahan-bahan yang digunakan untuk membuat makanan segera, bagi memastikan ia mematuhi sukatan yang dibenarkan.
“RTM juga bersedia untuk menyediakan ruang kepada Kementerian Kesihatan untuk membawa pakar-pakar dalam bidang kesihatan dan pemakanan bagi memberikan penerangan dan penjelasan kepada orang ramai mengenai keburukan makanan dan bahan-bahan terbabit,” katanya.
Sunday, November 16, 2008
RTM tangguh haramkan iklan makanan segera
Posted by ask what? at 11/16/2008 11:46:00 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment